top of page
Search
admin

SJKP: Kerajaan peruntuk RM10 bilion bantu 20,000 pembeli rumah dapatkan pinjaman

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM10 bilion bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bertujuan membantu 20,000 pembeli rumah mendapatkan pinjaman untuk memastikan setiap rakyat Malaysia memiliki rumah idaman.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata mulai tahun depan, kerajaan akan memberi pelepasan cukai bagi bayaran faedah pinjaman perumahan hingga RM7,000 kepada pembeli rumah pertama bagi kediaman berharga bawah RM500,000, selama tiga tahun.


"Pelepasan cukai hingga RM5,000 akan diberikan bagi kediaman yang berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000.

"Inisiatif ini terpakai kepada perjanjian beli rumah dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027, sekali gus menampilkan komitmen kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah selaras aspirasi perlindungan untuk semua," katanya pada sesi libat urus bersama media sempena pembentangan Belanjawan 2025, di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, SJKP itu akan menggunakan mekanisme sedia ada dan ia adalah tambahan jumlah peruntukan bagi menunjukkan komitmen kerajaan kepada rakyat.

"Kebanyakan isu ditimbulkan oleh graduan lepasan universiti ataupun pekerja-pekerja ekonomi gig adalah untuk menyelesaikan isu kredibiliti kerana golongan berkenaan tidak mempunyai dokumen lengkap atau slip gaji yang tetap.


"Oleh itu, apabila kerajaan mahu memperkenalkan SJKP berkenaan, mereka boleh memohon daripada bank dan pihak bank akan menghubungi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mendapatkan kelulusan daripada skim berkenaan.

"Maka, pihak bank akan lebih mudah untuk memberi pinjaman kerana jaminan diberikan oleh kerajaan dan risikonya adalah rendah.

"Setakat ini, KPKT telah berjaya membantu 53,000 pembeli rumah mendapatkan rumah pertama mereka. Tahun depan, KPKT menyasarkan pertambahan seramai 20,000 pembeli rumah untuk memiliki rumah pertama," katanya.


15 views0 comments

Comments


bottom of page